Sunday, April 6, 2014

REMEMBRANCE 115: TOK SU


TOK SU

Ketika kudratnya masih bermaya,
Ketika tekanan jari jemarinya masih terasa,
Ketika mindanya masih bergeliga, 
Tok Su bagaikan seorang dara pingitan, 
Khidmat baktinya sentiasa menjadi rebutan, 
Rebutan di kalangan sanak saudara,
Menjaga rumah ketika mereka berkelana,
Menaikkan seri pengantin di atas pelamin petarakna,
Meluruskan urat terseliuh di mana sahaja.

Namun ketika kudratnya tidak lagi bermaya,
Apabila pengurusan dirinya tidak lagi sempurna,
Apabila mindanya mula tersasul lupa,
Apabila jari jemarinya sudah tidak lagi terasa,
Penerima khidmat baktinya hilang sekelip mata,
Perasaan kasih sayang lenyap entah ke mana,
Mula menjauhinya bagaikan seorang pesakit kusta,
Tidak lagi mendampinginya berbual bicara,
Malah menganggapnya pula bagai nenek berpuaka,
Jika dihampirinya jua, pasti mewarisi saka.
Ketika denyutan nadinya merangkak di usia senja,
Hakikatnya Tok Su adalah sebatang kara,
Tanpa anak untuk menjaga dan bermanja,
Ketika itulah Tok Su amat haus dan dahaga,
Kepada belaian kasih sayang sanak saudara,
Bantuan kerohanian dan juga tenaga,
Namun segala impiannya hampa belaka,
Segala khidmat bakti diberi semuanya dilupa,
Bagaikan sampah sarap yang hanyut ke muara.
Rakan sepermainan pula sudah lama tiada,
Hanya anak-anak saudara dan cucu-cucu saudara,
Tempat Tok Su memohon belas suaka, 
Kalau tidak, kemanakah Tok Su hendak menghala.

Namun di sebalik setiap musibah, tentulah ada  hikmahnya,
Kita hanyalah insan makhluk biasa,
Kita mampu sekadar merancang sahaja, 
Kita boleh berkata apa sahaja mengikut selera. 
Tetapi  Allah SWT yang menentukannya,
Pepatah orang tua-tua pernah berkata, 
Kelapa setandan bukanlah semua buruk belaka,
Masih lagi terdapat insan berhati mulia,  
Yang tulus ikhlas menghulur jasa.
Agar Tok Su dapat meniti baki hidupnya  dengan selesa,
Tidak pula melihat Tok Su sebagai beban yang perlu digalasnya.

Walau pun tidak pernah mengecapi khidmat baktinya,
Tapi tetap menghormati Tok Su sebagai nenekanda,
Tidak pula menganggapnya sebagai nenek berpuaka,
Tidak juga menganggapnya akan menuruni warisan saka,
Walau pun terpaksa mencekup hidung dengan tuala,
Namun  keperluan peribadi Tok Su diurus dengan setia, 
Tidak  jijik, meluat atau pun mengerut muka,
Walau pun menganggu ketenteraman dalam rumah tangga,
Namun khidmat Zu kepada Tok Su diteruskan jua,
Ketelusan dan kesabaran insan yang mulia,
Memungkinkan nenek yang dikatakan berpuaka,
Dapat terus merangkak menghabis sisa-sisa hidupnya,
Dengan belaian kasih sayang di sepanjang masa,
Jiran-jiranya menganggap Tok Su sebagai nenek mereka,
Mampu melengkapkan hidup Tok Su di penghujung usia,
Jambangan terima kasih kepada Zu sekeluarga, 
Semoga dirahmati Allah yang maha esa.

Setelah  lebih satu abad berlalu,
Tok Su telah mengharungi hidup penuh berliku,
Pada jam 2.20 pagi di hari Rabu,
19 haribulan Mac 2014 yang penuh syahdu,
Berakhirlah denyutan nafas Tok Su,
Menyambut panggilan Allah yang satu,
Allah SWT lebih menyayangi Tok Su,  
Arwah Tok Su  disembahyangkan oleh lebih dua ratus jemaah tamu,
Pemergianya juga  diratapi berbagai peringkat cucu,
Yang berusaha datang dari jauh berbatu-batu,
Merentasi laut dan juga menyeberangi sungai di hulu,
Hanya dengan hasrat dan tujuan yang satu,
Untuk memberi penghormatan terakhir untuk Tok Su,
Menyaksikan  persemadiannya di sebelah arwah Tok Ku,
Kerana di hati kecil setiap peringkat cucu-cucu,
Mereka masih menyayangi dan merindui Tok Su,
Kenangan nostalgia  di dusun Tok Su satu ketika dahulu,  
Riuh ketawa dengan karenah telatah Tok Su,
Permintaan anak cucu pula tidak pernah dihampakan Tok Su,
Walau pun tidak menjenguk, mereka tetap sayang pada Tok Su, 
Hanya perasaan keangkuhan kitalah yang telah melupakan Tok Su, 
Semasa hayatnya penyelesaian tanah cara mudah tidak direstu,
Yang akhirnya menyukarkan keturunan Tok Su untuk bersatu padu  
Kini persoalan saka sudah pun lupus dihembus bayu,
Maka bolehlah pewaris  tampil menyelesaikan tanah pusaka Tok Su,
Agar roh Tok Su dapat ketenangan menghadapi Allah yang Satu. 

Sama-samalah kita berdoa ke hadrat illahi,
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Tok Su yang dikasihi,
Agar  ditempatkan pula Tok Su di kalangan para Solihin,
Amin, Ya Rabbalalamin. 

Sempena 14 hari Tok Su meninggalkan kita,
Kelubi Luar, Jitra,
3 hb. April 2014