Saturday, March 28, 2009

ON HIS MAJESTY SERVICE: 55

My final punch out from the State Financial Office, at 4.15 pm on 27 August 2001
From left: Me, Haji Khazali Din, Dato' Haji Hassan Taib, Haji Halim Hassan, Mohd. Asri Redza, Haji Ahmad Abdullah, Dato' Haji Wan Mustaffa and Abdul Bari.

LIMA PULUH LIMA

Mulai 1 Oktober 2001, mana-mana pegawai yang bersara selepas 1 Oktober 2001 boleh lah membuat pilihan sama ada hendak bersara pada umur 55 tahun atau pada 56 tahun. Oleh kerana saya bersara pada 27 Ogos 2001, maka tidak adalah pilihan bagi saya melainkan bersara pada 28 Ogos 2001. Pada malam 27 Ogos 2001, Majlis Sukan Negeri Kedah yang diterajui oleh Muhammad Che Nai telah menganjurkan majlis perpisahan untuk saya bertempat di Tingkat 9, Holiday Villa, Alor Setar.





Untuk majlis itu, saya perlu berucap dan ucapan ini melambangkan perasaan sedih dan pilu saya hendak meninggalkan perkhidmatan dan kawan-kawan selama 33 tahun yang berlalu. Kenangan paling nostalgik bersama Zam di ambang persaraan saya pada jam 11.00 malam, 27 Ogos 2001. Saya menulis ucapan ini terus dari sudut hati saya yang sayu dan pilu untuk meninggalkan 33 tahun kehidupan saya dalam KCS. Saya mengambil masa 30 minit untuk menghasilkan cetusan hati ini.

Di sinilah bermulanya kreativiti menulis nukilan cetusan hati. Sehingga ke hari ini, Zam masih mengatakan inilah ucapan saya paling menusuk hati pendengar. Dato’ Syed Azizan MADA tidak yakin bahawa saya mampu menukilkan cetusan hati seperti ini. Namun dia dan keluarganya tidak tahu bahawa saya ini adalah anak murid Che Gu Shahnon.




LIMA PULUH LIMA


Lima puluh lima,

Angka keramat untuk kita semua,

Di depan lima,

Di belakang pun lima,

Kalau dikalih semua,

Angkanya masih sama,

Lima puluh lima.

Lima puluh lima,

Amat sukar hati nak terima,

Bahawa kita sudah lima puluh lima,

Walau rambut dah pun tukar warna,

Kulit pun dah kerdot macam buah kurma,

Kepala hanya diliputi rambut di sini sana,

Namun, hati masih berat juga nak terima,

Bahawa kita sudah lima puluh lima.

Lima puluh lima,

Sebelum satu Oktober 2001,

Angka keramat untuk pegawai Kerajaan Malaysia,

28 Ogos 2001 tidak lagi diambil kira,

30 minit lagi genaplah lima puluh lima,

Kini saya sudah berada di ambang senja,

Sudah tiba masanya untuk bersara,

Untuk terus meniti hidup ke ambang pusara.

Namun saya tetap bersyukur lega,

Kepada Allah yang maha esa,

Walau pun saya selalu mudah lupa,

Hanya ingat apabila bencana menimpa,

Namun Allah sentiasa tak lupa,

Mencucuri rahmat yang tak terhingga,

Kepada diri saya dan juga keluarga,

Merestui saya mengharungi samudera,

Samudera perkhidmatan untuk Negara,

Seterusnya mengizinkan saya pula,

Mampu berkhidmat hingga ke muara.


Kini saya sudah berada di penghujung titi,

Pangkat kedudukan sudah tidak lagi,

Cuma yang tinggal hanyalah maruah dan harga diri,

Serta tuan-tuan dan puan-puan sahabat sejati,

Aduh, amat sukar untuk menerima realiti,

Bahawa dunia dah menghambat pergi-pergi,

Pusara pula mula menggamit mari-mari kemari,

Justru itu kita semua haruslah insaf diri,

Bahawa kita semua adalah nobody,

Bahawa kita semua hanyalah makluk illahi,

Bahawa setiap denyutan jantung dan nadi,

Bukanlah suatu yang hakiki,

Bukanlah suatu yang abadi,

Tetapi Allah jua yang memberkati,

Pandai-pandailah membawa diri,

Sentiasalah mengamal resmi padi,

Makin menunduk makin berisi,

Sentiasa bersyukur memohon restu Illahi,


Di akhir persimpangan,

Jutaan terima kasih saya dan isteri ucapkan,

Kepada tuan-puan para hadirin sekalian,

Yang sudi meraikan kami semalamam,

Dengan sambutan yang begitu mengkagumkan,

Di atas sebarang kekurangan atau kecacatan,

Saya dan isteri memohon sejuta keampunan,

Sememangnya jasa anda sekalian,

Tidak mungkin dapat kami balaskan,

Hanya Allah jua yang membalaskan.

Segala baik budi tuan dan puan,

Akan sentiasa berada di ingatan.

Oleh yang demikian,

Para hadirin sekalian,

Marilah kita sama-sama mendoakan,

Agar majlis ini dikurniakan Allah penuh keberkatan,

Dan perpisahan kita kemudian,

Perpisahan yang terpelihara oleh Tuhan.



Ucapan Perpisahan kepada Majlis anjuran Majlis Sukan Negeri Kedah, pada 27hb Ogos 2001 bertempat di Holiday Villa Alor Setar

3 comments:

  1. pak tuan,, ucapan ni mmg sedih sgt.. ayie sedih dgr.. nnt bila sampai waktu pencen ayie nnt ayie pon nk buat ucapan mcm pak tuan gak.. cuma ucapan kami nnt berubah sikit sbb kami nnt pencen umur 58tahun..tu pon kalau masa mengizinkan ayie bernafas sampai hari tu.. apa-apa pon,,ucapan ni paling menyentuh perasaan..

    ReplyDelete
  2. Ayie, terima kasih kerana melayari dan didoakan semoga Allah memberkati sehingga 58 tahun

    ReplyDelete
  3. terima kasih pak tuan..mudah-mudahan berkat hidup ayie dengan doa dari pak tuan.. Amin Ya ALLAH..

    ReplyDelete