Wednesday, September 30, 2009

REMEMBRANCE 41: ADAT MEMINANG.


Semua adik-adik saya menyertai rombongan meminang untuk Faiz
Za dan anaknya Najwa terbang balik dari Kuala Lumpur untuk menyertai rombongan meminang
Saya amat berbangga dengan kehadiran 100% di kedua pihak keluarga (Hindon dan Syed Putra)


Disebabkan OA yang mencengkam lutut, saya terpaksa duduk di atas kerusi semasa memulakan majlis peminangan

Berpakaian kebangsaan berseorangan








Regu saya, tuan Haji Jaafar bin Ismail, bapa saudara kepada Siti Fairuz

Encik Rahim bin Ali, bapa Siti Fairuz

Kyusuk mendengar pembukaan bicara oleh pihak saya

Dari kiri: Firdaus dan Ryan, Jim, Shahir, Bang Ali dan Abdullah
Jim dan Nana terbang balik ke Kedah untuk memandu kereta yang saya tak mampu pandu hingga ke Nibong Tebal
Dari kiri: Bang Omar (bersongkok berpakaian hitam, Bang Ali, Shahir, Fazil, Rahim , Haji Jaafar dan Abdullah (berbaju merah membelakangi kamera.

Dari kiri: Siti Khadijah, Za, Norlia dan kak Pak


Dari kiri: Encik Rahim, Siti Fairuz dan Hindon . Dua keluarga bakal bercantum


Majlis menyarung cincin pertunangan mengakhiri bicara

Bagi saya, pengalaman menyertai adat meminang amatlah nostalgia bagi diri saya. Selepas saya mula berkhidmat di dalam Perkhidmatan Kerajaan Negeri Kedah pada 02.03.1969 dan setelah saya mempuyai motokar, saya sering kali membawa arwah nenekanda saya, Tuan Haji Syed Mohammad untuk meminang gadis-gadis untuk cucu-cucunya atau pun untuk peria-peria Kampung Kelubi.

Nenekanda saya amat berpengalaman di dalam bidang adat istiadat perkahwinan dan saya amat kagum dengan kebolehan nenekanda saya di dalam menghadapi berbagai situasi. Saya tidak mempelajari ilmu ini daripada nenekanda saya dengan kerena saya berfikir bahawa tidak mungkin saya akan menjejaki langkahnya. Namun, kita hanya merancang tetapi Allah jua yang akan menentukannya. Secara tidak disedari, saya kini telah mula memikul peranan nenekanda saya apabila adik-adik saya dan juga adik-adik ipar telah menyerahkan tanggung jawab adat menerajui majlis peminangan anak-anak mereka kepada saya. Sepertimana amalan nenekanda saya, saya akan memakai pakaian kebangsaan lengkap apabila saya meminang atau menerima peminangan sama ada di desa atau pun di bandar. Saya tak kisah sekiranya saya seorang sahaja yang memakai pakaian kebangsaan di majlis itu.

Terdapat dua kategori di dalam adat peminangan iaitu meminang atau pun menerima peminangan. Pengalaman saya menerima peminangan untuk anak saya sendiri telah mengajar saya supaya menjadi seorang yang sentiasa bersedia di dalam semua keadaan. Semasa saya hendak menerima peminangan anak saya, Nana, saya telah diberitahu bahawa rombongan peminangan dari Negeri Perak akan menggunakan kata-kata berbentuk pantun. Itulah kali pertama saya menerima peminangan. Saya pun menyiapkan diri saya dengan berbagai-bagai rangkap pantun bagi mengandaikan jawapan kepada pantun-pantun yang akan dilemparkan kepada saya.

Saya kemudiannya telah terpinga-pinga apabila rombongan peminangan tidak sepatah pun berpantun kepada saya. Saya tergamam beberapa minit untuk menjawab dalam bahasa dailog seharian dengan kerana di benak saya sudah pun disendatkan dengan bahasa berbagai-bagai pantun. Sejak daripada peristiwa itu, saya telah menganggapkan bahawa setiap majlis peminangan yang saya terajui adalah sebagai satu pertarungan. Oleh kerana kita tidak tahu bagaimanakah perwatakan dan corak yang akan dilakarkan oleh regu kita yang meminang atau menerima peminangan.


Bagi penerima peminangan, ianya lebih mudah dengan kerana pihak kita mempunyai ruang untuk menilai regu kita dengan kerana pihak yang meminang yang akan membuka langkah dahulu. Oleh yang demikian, saya mestilah sentiasa berwaspada dengan persiapan saya untuk meminang atau menerima peminangan. Saya akan menyiapkan rangkap-rangkap pantun terlebih dahulu sekiranya ia diperlukan di majlis itu nanti. Kalau tidak perlu pun, pemikiran saya sudah pun diprogramkan untuk lebih fleksibel.

Saya akan sentiasa menyediakan persiapan saya ke suatu tahap yang paling tinggi dengan kerana ianya lebih mudah untuk menurunkan tahap daripada menaikkan tahap berdasarkan kepada sesuatu keadaan yang sebenar. Strategi saya ini amat bertepatan dengan pengalaman yang telah saya lalui selama ini. Anak-anak saya sentiasa mentertawakan saya apabila melihat saya begitu serius membuat sesuatu persiapan untuk majlis peminangan yang saya akan terajui. Rangkap pantun saya bukanlah yang lazim tetapi saya menggunakan pembayang berdasarkan kepada elemen tempatan dan yang komtemprori. Saya tidak ambil kira dengan kritikan anak-anak saya dengan kerana persiapan saya selama ini amat membantu saya di dalam mengendalikan sesuatu majlis peminangan.


Sebagai contoh saya sertakan persiapan saya untuk majlis peminangan anak saudara saya, Syed Mohd. Faiz pada 01.08.2009 di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Saya tidak perlu pun menggunakan pantun dan gurindam yang telah saya sediakan dengan kerana corak perbincangan adalah secara dialog seharian. Namun saya tetap berpuas hati dengan persiapan saya dengan kerana ia telah memberi keyakinan kepada diri saya untuk menghadapi sebarang keadaan dan pantun serta gurindam ini akan menjadi lipatan galeri saya.

Bukan kacang sebarang kacang
Kacang penyebab gout di kaki,
Bukan datang sebarang datang
Datang membawa hajat di hati.

Di zaman dunia jalur lebar,
Adat pusaka tidaklah terbiar,
Kami datang merisik khabar.
Khabar yang amat enak didengar.

Khabarnya di taman Pak Rahim yang budiman,
Penuh dengan bunga-bungaan.
Semerbak harum di seluruh pekan,
Harum baunya hingga ke Perlis Indera Kayangan,

Permata Fairuz pula kilau menawan,
Berkilauan cahaya hingga ke awan,
Melantunkan cahaya merentasi sempadan,
Baik rupa parasnya,
Baik budi pekertinya,
Baik sopan santunnya
Baik pula hati budinya,
Amat terpikat hati kami semua,
Tidak hendak kemana mana,
Mungkin adik saya dah mengena,
Selain bernama Fairuz bukanlah pilihan menantunya.

Walau pun saya bersuluh di hari terang,
Namun hati gundah bukan kepalang,
Sudahkah permata Fairuz di tempah orang,
Adakah bunga sekumtum ini sudah dipetik kumbang,
Atau calun kami Syed Mohd. Faiz seorang,
Masih lagi mempunyai peluang,
Menyunting bunga harum di jambangan.

Besar mana stadium Batu Kawan,
Sepanjang mana Titi Pulau Pinang,
Setinggi mana Bukit Bendera,
Besar lagi hajat kami sekalian,
Besar lagi harapan kami masuk meminang,
Meminang Permata Fairuz yang berharga
.

3 comments:

  1. Teruskan usaha.Perlu cari pelapis.Adat perlu diteruskan.

    ReplyDelete
  2. Pak Chak one more pantun...

    Daun keladi,
    Daun selasih,
    Sekian, terima kasih...!

    ReplyDelete
  3. Alun. TQ for the comment.
    Biji saga,
    Daun selasih,
    Sekian sahaja,
    Terima kasih

    ReplyDelete