Saturday, July 4, 2009

NUR HIDAYAH BAB 3

Keceriaan jelas terpancar di wajah Johari yang menggambarkan kepuasan hatinya bahawa suatu bebanan besar telah terangkat daripada bahunya. Johari Cuma boleh berdoa dan terus berdoa bahawa segala hasrat murninya diberkati Allah s.w.t.

“Afiq, Pak Joe bersyukur kepada Illahi dan Pak Joe amat terhutang budi kepada Afiq. Pak Joe harap Afiq bincanglah baik-baik dengan Aleeya dan cari jalan yang sebaik-baiknya demi untuk keharmoniaan rumah tangga Afiq nanti. Pak Joe yakin bahawa Aleeya akan menjadi seorang isteri yang baik kepada Afiq. Pak Joe yakin Afiq tidak akan menyesal dengan keputusan Afiq,” Johari meluahkan keyakinannya terhadap Aleeya.

“Afiq, memandangkan kepada Pak Joe yang hanya nyawa-nyawa ikan sahaja, Pak Joe bercadang untuk mengadakan majlis akad nikah pada esok hari. Bagaimana pandangan Afiq,” Johari meminta kepastian Afiq.

“Tuan, sepertimana saya katakan di awal-awal lagi, saya akan menurut sahaja cadangan. Elok untuk Pak Joe, eloklah juga untuk saya,” Afiq memberi keyakinan kepada Johari.

“Alahamdullillah, sekiranya Afiq berpendapat begitu. Untuk majlis akad nikah esok, jika diizinkan Allah, Hasrat Pak Joe ialah Pak Joe sendiri akan menyempurnakan akan nikah. Majlis akad nikah akan dilangsungkan pada jam 4.00 petang di rumah Pak Joe, Seksyen 7, di Shah Alam. Afiq datanglah awal supaya dapat berbincang dengan Aleeya mengenai syarat-syarat pra-pernikahan. Semua urusan majlis akad nikah Pak Joe akan uruskannya dan Afiq perlu bawa badan sahaja. Afiq sedialah belanja mas kahwin sebanyak RM 1,111.11 dengan sebentuk cincin berlian. Macam mana ?, Afiq bolehkah sedia semua benda tu,” Johari memberi cadangan mengenai cadangan program majlis pernikahan besoknya.

“Insya Allah Tuan, saya akan sediakan sepertimana Tuan kehendaki,” Afiq memberi jaminan kepada Johari.

“Afiq, Pak Joe bersyukur dan rasa amat bertuah sekali kerana dipertemukan Allah dengan Afiq. Dengan bertemu Afiq, Pak Joe rasa beban yang Pak Joe pikul selama ini telah dapat dikurangkan. Nampaknya dapatlah Pak Joe meninggalkan alam yang fana ini dengan aman dan tenteram,” Johari meluahkan perasaan kelegaannya.

“Tuan, Afiq pun turut bersyukur. Tanpa Tuan, saya pun tak tahu di manakah saya berada pada hari ini. Mungkin merempat di kampong tanpa sebarang haluan atau pun mungkin berada di dalam penjara,” Afiq memperakui rasa kesyukurannya kepada Johari.

“Afiq tidaklah boleh bercakap begitu, dengan kerana hidup kita ini adalah mengikut ketentuan Allah. Dah lama kita berbincang dan Pak Joe minta Afiq memaafkan Pak Joe kerana Pak Joe telah menyusahkan Afiq. Pak Joe juga dah penat dan tidak boleh bercakap panjang-panjang lagi. Pak Joe perlu berehat sekarang. Assalamualaikum,” Johari mematikan percakapannya dan menggengam erat tangan Afiq dan terus menutup kedua matanya untuk berehat.

“Waalaikumsallam, saya juga pohon maaf kerana mengganggu Tuan. Tuan berehatlah dan saya pohon mengundur diri dahulu,” Afiq melepaskan genggaman pada tangan Johari dan terus berundur keluar perlahan-lahan.



No comments:

Post a Comment