DIA
Ketika Dia masih ada,
Kita sentiasa alpa,
Kita juga mudah lupa,
Kerana kita sentiasa berada,
Di dalam zon amat selesa,
Kini Dia sudah tiada,.
Barulah kita mula terasa,
Terkeluarnya kita dari zon selesa,
Tiada lagi tempat untuk meminta-minta,
Bantuan dari air tangan Dia.
Ketika Dia masih ada,
Kita sentiasa meminta-minta,
Kita mengeksploitasikan kepakaran Dia,
Kepakaran memasak berbagai aneka,
Menghasilkan masakan berbagai cita rasa,
Citarasa pelbagai rakyat biasa,
Menepati cita rasa Satu Malaysia,
Malahan cita rasa Tok Kong Cina,
Sehinggakan Perdana Menteri ( Kedah) kita,
Tidak boleh lupa sayur keladi Dia,
Kita juga turut berbangga,
Bahawasanya air tangan Dia,
Mampu memenuhi cita rasa golongan diraja.
Ketika Dia masih ada,
Di kala kita sesak di dada,
Untuk menempah jamuan dengan segera,
Bagi keperluan keluarga kita,
Mau pun keperluan jabatan dan bos kita,
Kita mesti mengingati Dia,
Tanpa banyak bicara,
Terus kita mendesak Dia,
Tak kira waktu atau pun masa,
Tak kira di bulan apa sahaja,
Tak kira di bulan biasa,
Atau pun di bulan puasa,
Mahu pun di Hari Raya.
Ketika Dia masih ada,
Kita terus meminta-minta,
Tidak pernah pun muhasabah seketika,
Tidak pernah bertanya bagaimanakah Dia,
Tidak pernah bertanya sihatkah Dia,
Tidak pernah bertanya mampukah Dia,
Menunaikan permintaan desakan kita,
Kerana kita dah amat amat biasa,
Dengan jawapan nada positif Dia,
Kerana jawapanya sentiasa YA, YA dan YA.
Tidak pernah menolak bantah bersuara,
Tidak pernah juga mendesak meminta-meminta,
Kerana Itulah sikap keluhuran diri Dia.
Ketika Dia masih ada,
Andainya jawapannya bukan bernada YA,
Terus melentinglah kita,
Dengan gurisan hati yang membara,
Berbagai tohmahan dilempar kepada Dia,
Memilih kasih kepada siapa,
Hanya menunaikan ikut pilihan Dia,
Tanpa kita sendiri menilai siapakah kita,
Untuk menilai bahawasanya Dia,
Mempunyai parasaan seperti kita,
Mempunyai kebatasan masa,
Mempunyai kebatasan usia,
Mempunyai kebatasan daya tenaga,
Kerana dia juga manusia biasa,
Manusia biasa seperti kita,
Hamba Allah kepada yang Maha Esa,
Namun tindak balas Dia,
Tetap tersenyum dengan selamba.
Ketika Dia masih ada,
Kepada suami Dia super manusia,
Melayan suami tanpa keras bersuara,
Peel suami yang caca merba,
Terkenal dengan kepelikan cita rasa,
Kononnya mengekal kesihatan di kala muda,
Banyak makanan yang tidak disuka,
Melebihi pakar diet antara bangsa,
Walau pun makanan dicemuh dan dicela,
Namun Chicken Chop boleh juga,
Walau pun mendadak paras gula,
Di keesokan harinya.
Ketika Dia masih ada,
Cara makan suami macamlah raja,
Ketam perlu diasing tinggal isi sahaja,
Tulang-tulang ikan perlu dibuang juga,
Walau pun pelbagai rintangan yang ada,
Namun taat Dia kepada suami amat ketara,
Kukuh berpegang kepada prinsip Dia,
Kepada suami Dia tak pernah derhaka,
Walau pun ke tahap meninggikan suara,
Kerana syurga itu tetap berada,
Di bawah tapak suami tercinta.
Ketika Dia masih ada,
Tidak kira apa orang lain sinis berkata,
Keterlaluan tahap ketaatan kepada suami Dia,
Dia tetap melayan suami seperti biasa,
Bagaikan melayan Pak Balung dalam seloka:
Kasih dicurah sayang diberi,
Makan dihidang minum disaji,
Tak perlu kais tak perlu cari,
Beras padi datang sendiri.
Ketika Dia masih ada,
Menanggung derita berbagai sangsara,
Pelbagai rawatan dan pembedahan yang dirasa,
Kemoterapi untuk merawati kanser,
Penukaran lutut untuk bergerak lebih selesa,
Rawatan gigi dan pembedahan di mata,
Pembedahan jantung juga telah dicuba,
Sikap positif Dia terhadap kehidupan amat perkasa,
Selagi jantung berdenyut Dia tidak berputus asa,
Mencuba-cuba dan terus kekal berusaha,
Dia melalui segala dugaan dengan bersahaja,
Hanya berserah sepenuhnya kepada Maha Esa,
Namun Dia juga tidak pernah lupa,
Menghargai setiap jasa anak-anak buah Dia,
Sentiasa bersyukur kepada jasa-jasa mereka,
Sehingga ke akhir hayat Dia,
Masih tetap menyayangi Dia dan keluarga.
Ketika Dia masih ada,
Bila mana Dia menghampiri ajalnya,
Masih bersikap tidak mahu menyusahkan sesiapa,
Sempat lagi berpesan kepada cucuanda,
Bahawa wang tunai sudah pun Dia sedia,
Untuk menampung kos pengkebumian Dia,
Itulah sebenarnya Dia,
Di ambang penghujung nyawa,
Masih juga bersikap kental waja,
Sentiasa tawakal kepada Yang Maha Esa.
Kini setelah Dia tiada,
Adakah kita sudah lupa,
Kepada jasa-jasa murni Dia,
Menyediakan makanan seluruh keluarga kita,
Masakan moden dan juga purba,
Masakan Siam, Melayu atau pun Cina,
Semua permintaan tidak pernah dihampa,
Menjaga rumah ketika kita tiada,
Jarak jauh dan jangka masa,
Langsung tidak diambil kira,
Bersedia menjaga ahli keluarga kita,
Ketika menunaikan Rukun Islam kelima,
Menyediakan jamuan yang menyelera,
Ketika memasuki rumah pertama,
Menyedia serunding dan acar di bulan puasa,
Agar kita menunaikan puasa dengan lebih sempurna,
Rendang perut pasangan ketupat di hari raya,
Kerabu emping snack Dia yang luar biasa,
Semua jasa-jasa Dia bagaikan permata,Kini tinggal kenangan amat berharga,
Tidak mampu terbayar oleh kita,
Hanya Allah yang dapat membalasnya jua.
Di detik dua puluh lima minit selepas tiga,
Di dalam keheningan petang yang hiba,
Di hari Ahad, 20.11.2011 tarikh yang unik jua,
Terhentilah dengan tenang degupan jantung Dia,
Disaksikan adik ipar Noraini dan cucuanda Sara,
Zamzam, Mak Zoyah dan juga Mak Chik Salha,
Takdir menentukan yang lain tidak dapat bersama,
Walau pun telah menunggu bersama sekian lama.
Di wajah kaku terakhir Dia,
Terukir senyuman kepuasan Dia,
Keshahduan dan keserian rupa Dia,
Mencerminkan kedamaian jiwa,
Bahawasanya Dia telah bersedia,
Tawakal untuk menghadapi yang Esa,
AlFatihah untuk Dia,
Sama-samalah kita memohon doa,
Semoga Arwah Mak Teh Gayah Kita,
Ditempatkan Allah di kalangan para syuhada.
Amin Ya Rabbal Alamin.
(Pohon kemaafan sekiranya tersinggung di mana-mana pihak kerana bukanlah niat saya sedemikian rupa.
Cetusan rasa ini hanyalah sekadar nukilan terindah bersama semasa hayat arwah Mak Teh Hajjah Rokiah @ Gayah binti Mohd. Noor. Nukilan ketika dikarantin dari bersuara : Hari Jumaat 2.11.2011)
SEKIRA KEADAAN KESIHATAN MENGIZINKAN, TIDAK PERNAH MENGHAMPAKAN SEBARANG JEMPUTAN DARI ANAK-ANAK BUAHNYA
SUAMI TERCINTA SENTIASA MENGIRINGINYA
DI KERUSI RODA IHSAN KAKAKNYA HABIBAH
SENTIASA MENGUKIRKAN SENYUMAN KETIKA BERSUA
PERWATAKAN MAK TEH YANG TIDAK MENGGERUNKAN SENTIASA MENJADI BAHAN USIKAN ANAK-ANAK BUAHNYA
KINI DIBAHUNYA TERLETAK TANGGUNG JAWAB MEWARISI PENJAGAAN SUAMI YANG TELAH DITINGGALKAN
KINI BARU DAPAT MENILAI TAHAP PENGORBANAN ARWAH HANYA MELEPASKAN RINDU SEKADAR MENATAP WAJAH YANG SUDAH TIADA
PENGHARGAAN KEPADA KEIKHLASAN ULAMAK KERDIL KITA MENYELESAIKAN URUSAN PENGKEBUMIAN ARWAH DI TANAH PERKUBURAN MASJID DERGA PADA JAM 11.00 PAGI, HARI ISNIN 21.11.2011
TIDAK PERNAH LOKEK DENGAN ILMU DI DADATETAPI TIADA ANAK BUAH YANG MEMINTA
Untuk resipi buboq asyura, sila merantau ke Siblings 50
MENINGGALKAN AMANAT KESEMPURNAAN PENYEDIAAN BUBOQ ASYURA KEDAH PURBA
DISAHKAN OLEH PAKAR-PAKAR MAKAN BAHAWA MEMANG BUBOQ ASYURA MAK TEH MENYELERAKAN HINGGAKAN KE WILAYAH SHAH ALAM
Alfatihah untuk arwah Tok Teh.Buat selama-lamanya tidak akan lagi pengganti Tok Teh.Suatu kehilangan...hanya sebahagian resepi Tok Teh saja yang dapat dicatat.Masakannya dan kebaikannya akan sentiasa termateri dalam ingatan.Hargai mereka yang masih ada,kenang dan doakan mereka yang telah tiada
ReplyDeleteAl-fatihah untuk arwah tok..jasa dan pengorbanan tok tidak akan dilupakan.terasa sangat2 kehilangannya...tima kaseh kepada semua saudara-mara yang sentiasa memberi semangat dan pertolongan yang tidak mampu kami balas..hanya Allah sja yang dapat membalasnya...tima kaseh
ReplyDeleteAl-fatihah untuk arwah tok..jasa dan pengorbanan tok tidak akan dilupakan.terasa sangat2 kehilangannya...tima kaseh kepada semua saudara-mara yang sentiasa memberi semangat dan pertolongan yang tidak mampu kami balas..hanya Allah sja yang dapat membalasnya...tima kaseh
ReplyDelete