Monday, June 29, 2009

NUR HIDAYAH : BAB 1

Sempena dengan ulang tahun kelahiran saya yang 63 dan juga ulang tahun kelahiran rakan-rakan saya yang sewaktu dengannya, saya akan cuba muat turunkan penulisan novel sulong saya berjodol "Nur Hidayah" sebagai pencuci mata dan makanan ringan minda pengikut blog saya yang amat setia. Novel ini mempunyai 76 bab dan saya akan muat turunkan satu bab bagi setiap minggu.
Novel ini adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa yang masih hidup dan yang masih mati. Walau pun novel ini hanyalah rekaan sahaja tetapi ianya adalah berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian saya semasa menjawat jawatan KCS dan penilaian peribadi saya terhadap sesuatu insiden yang berkaitan. Kalau sesuai bacalah, kalau tidak, pinggirkanlah ia.

NUR HIDAYAH
Bab 1

“Assalamualaikum Tuan,” Afiq memberi salam apabila memasuki kamar pesakit 1502, di Subang Jaya Medical Centre. Hanya Johari seorang sahaja yang berada di dalam kamar 1502. Tiada ada insan lain yang menemani Johari.

“Mualaikumsalam,” Johari menyambut salam Afiq dengan nada suara yang lemah. Johari terbaring di atas katil pesakit dengan tangan dan dadanya disambungkan dengan wayar ke mesin-mesin yang membantu degup penafasannya. Mesin-msein lain pula memantau keadaan kesihatannya yang terkini.

Amatlah menyayat hati Afiq apabila melihat keadaan Johari yang terbaring lemah di atas katil pesakit. Kali terakhir Afiq bertemu Johari ialah lapan belas bulan yang lepas semasa pengkebumian arwah isteri Afiq, Allahyarhamah Hanim. Kini keadaan Johari amat jauh berbeza. Kalau dulu raut wajah Johari penuh dengan pancaran keceriaan, kini digantikan pula dengan wajah yang lesu dan tak bermaya.

“Afiq, thank you very much for coming. Please take a seat,” Johari mempelawa Afiq duduk di kerusi yang berada di sebelah katil pesakit. Afiq terus duduk di kerusi yang dipelawa oleh Johari dan terus menggengam tangan kanan Johari.

“Afiq, Pak Joe kurang sihat dan tak boleh bercakap panjang-panjang. I am suffering from acute terminal lung cancer.” Johari menjelaskan kedudukan penyakit yang sedang dihadapinya.

“Syukur Allhamdullillah, apabila Pak Joe terbaring di atas katil ini, Pak Joe mula muhasabah diri Pak Joe. Pak Joe telah sedar bahawa Pak Joe telah banyak menyimpang jauh dari jalan keredaan Allah. Di dalam keghairahan Pak Joe mengejar kekayaan dunia, Pak Joe terlupa kepada tanggung jawab Pak Joe daripada segi ugama terhadap keluarga Pak Joe.,” Johari terus merintih tentang kegagalanya memimpin keluarganya mengikut jalan yang betul.

“Yang Pak Joe paling menyesal ialah Pak Joe juga turut menghampakan harapan murni kedua arwah ibu bapa Pak Joe. Pak Joe tahu kedua-dua arwah tentu kecewa dengan Pak Joe kerana menghampakan harapan orang-orang kampung,” Johari terus meluahkan rasa penyesalan yang terpendam di dalam jiwanya selama ini.

“Tuan janganlah berputus asa. Tuan perlu bersyukur bahawa Allah masih sayang kepada Tuan. Allah telah memberi kesempatan kepada Tuan untuk memperbaiki segala kepincangan yang telah Tuan lakukan, Insya Allah,” Afiq cuba memberi keyakinan kepada Johari.

“Afiq, Pak Joe kini telah sedar bahawa kekayaan yang Pak Joe kejar selama ini, hanyalah merupakan kempompong yang kosong sahaja. Pak Joe tidak menggunakan kekayaan yang Pak Joe perolehi untuk jalan yang diredai Allah,” Johari terus menyuarakan rasa kekesalannya.

“Tuan, janganlah ambil sikap negatif begitu. Tuan masih ada masa untuk membelanjakan harta kekayaan Tuan ke arah jalan yang diredai Allah. Tuan boleh membuat kebaikan dengan memberikan harta yang disayanginya kepada kerabat-kerabat Tuan, anak-anak yatim, orang-orang miskin, ibn al sabil serta orang-orang yang meminta,” Afiq memberi penjelasan kepada Johari mengenai jalan keredaan Allah untuk membelanjakan harta kekayaannya.

“Terima kasih Afiq kerana menegur dan memperingati Pak Joe. Pak Joe sedar bahawa Pak Joe tidak mempunyai masa lagi untuk memperbaiki keadaan ini. Pak Joe tidak mahu anak Pak Joe, Aleeya mengulangi kesalahan sepertimana Pak Joe sudah lakukan. Di atas kesedaran inilah, Pak Joe amat berharap Afiq akan dapat membantu Pak Joe di dalam usaha untuk memperbaiki kepincangan ini,” Johari meminta bantuan daripada Afiq.

“Saya yakin Tuan adalah seorang yang berhati mulia, Cuma Tuan tiada berkesempatan untuk meneruskan sumbangan murni Tuan. Saya adalah anak yatim piatu yang telah Tuan bantu untuk berdikari. Segala bantuan kewangan Tuan telah saya gunakan untuk kebaikan semata-mata. Lebihan bantuan Tuan juga telah saya kumpulkan bersama-sama dengan bantuan daripada anak-anak yatim yang berjaya di dalam profesen masing-masing. Berkat kata sepakat, kami juga telah mampu mewujudkan dana untuk membantu anak-anak yatim yang mempunyai keupayaan tetapi tidak berkemampuan. Kami membantu mereka untuk memperbaiki taraf hidup mereka melalui pendidikan atau pun melalui bidang perniagaan. Alhamdullillah dengan rangkaian ini, kita telah mampu membantu lebih daripada 10 orang anak yatim setiap tahun,” Afiq memberi gambaran yang menyenangkan Johari.

“Alhamdullillah, Pak Joe amat senang mendengar sumbangan kecil Pak Joe telah dapat pergi begitu jauh untuk membantu anak-anak yatim. Dengan keperibadian Afiq yang begitu mulia, Pak Joe yakin Afiq juga akan dapat membantu Aleeya untuk mencorakkan masa depan hidupnya dengan lebih sempurna dan berlandaskan kepada hukum-hukum Allah,” Johari terus menagih simpati daripada Afiq

“Alhamdullillah, saya bersetuju dengan keyakinan Tuan terhadap Aleeya,” Afiq memperakui keyakinan Johari terhadap anaknya.





2 comments:

  1. salam pakchaq...
    novel neh best...
    hehe...
    amalina...

    ReplyDelete
  2. Salam Ami Zain..utk 1st chapter ni penilaian yg Fairuz bg utk Ami Zain 4 out of 5 star...Tahniah..

    ReplyDelete