Saturday, August 15, 2009

NUR HIDAYAH 9

9

Di sepanjang perhubungan uniknya dengan Johari, Afiq hanya menerima dua kali kunjungan Johari. Yang pertama ialah di Lapangan Terbang KLIA semasa Afiq hendak berangkat ke New Zealand. Di perjumpaan ini, Afiq memaklumkan kepada Johari bahawa Johari tidaklah perlu lagi memberi bantuan kewangan kepadanya. Dengan biasiswa yang akan diterimanya serta dengan wang simpanannya, Afiq yakin ianya mampu menampung keperluannya semasa di New Zealand.

Johari bersetuju dengan permintaan Afiq dengan syarat Afiq hendaklah memaklumkan kepadanya sekiranya Afiq masih memerlukan sebarang bantuan di kemudian hari. Namun begitu, Johari tetap memberi sumbangan wang untuk kali terakhir kepada Afiq sebagai bekalan tambahan semasa di New Zealand sebanyak NZ$ 5,000.00. Ketika itu Afiq tidak dapat menbendung perasaan dirinya dan Afiq terus memeluk erat Johari dengan linangan air mata.. Hanya air mata keikhlasan sahaja yang dapat menggambarkan betapa besarnya rasa penghargaan Afiq terhadap jasa bakti Johari.

Walau pun Johari telah bersetuju untuk tidak memberi bantuan kewangan kepada Afiq tetapi akaun simpanan bank Afiq di Wellington masih menerima kemasukan wang NZ$ 400.00 setiap bulan.

Sebulan selepas Afiq pulang ke Malaysia dengan Hanim, arwah isterinya, Johari telah menjemput Afiq bersama Hanim bersama anak mereka Nur Aisyah ke jamuan tengah hari di Hotel Mandarin Oriental, KLCC. Johari hadir bersama anaknya Aleeya yang kini sudah pun menuntut di Tingkatan 5, Sekolah Menengah Tunku Kursiah. Walau pun kali pertama menemui Aleeya, Nur Aisyah lantas terus bermesra dengan Aleeya.

Di dalam hati kecilnya, Afiq ingin bertanya mengapa Puan Khatijah tidak turut serta tetapi tidak terkeluar perkataan tersebut daripada mulutnya. Namun, Tuan Johari dapat membaca rasa hati Afiq dan terus memaklumkan kepada Afiq bahawa beliau telah pun berpisah dengan Puan Khatijah setahun yang lalu. Kini Puan Khatijah telah pun kembali menetap di New Zealand.

Kali terakhir Afiq menemui Tuan Johari selepas jamuan tengah hari di Hotel Mandarin Oriental ialah di majlis pengkebumian arwah isterinya, Hanim. Johari telah datang menziarahi Afiq semasa majlis perkebumian Allahyarhamah Hanim di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam. Walau pun tidak wujud talian perhubungan intim secara fizikal, namun Afiq sentiasa mengganggap Johari sebagai anugerah tuhan yang memberi cahaya kehidupan kepadanya. Hakikat ini sentiasa terpahat di dalam ingatannya.





No comments:

Post a Comment