Wednesday, March 7, 2012

SIBLINGS 81: LAILA MAJNUN

Untuk lebih menghayati Laila Majnun diturunkan sedutan daripada blog siri Siblings 69: DIA bersempena dengan pemergian Arwah Mak Teh Gayah pada hari Ahad 20.11.2011 dan kemudiannya disusuli dengan pemergian Pak Teh Khalid pada hari Rabu 29.02.2012 yang berselang ganti selama 100 hari. Pohon keampunan jika tersinggung di mana-mana kerana bukan niat saya untuk berbuat demikian. Coretan ini adalah sekadar memperingati pemergian kedua pasangan suami isteri yang kita amat sayangi dan sanjungi



SEDUTAN DARIPADA DIA

"Ketika Dia masih ada,

Kepada suami Dia super manusia,

Melayan suami tanpa keras bersuara,

Peel suami yang caca merba,

Terkenal dengan kepelikan cita rasa,

Untuk mengekal kesihatan di kala muda,

Banyak makanan yang tidak disuka,

Melebehi pakar diet antara bangsa,

Walau pun makanan dicemuh dan dicela,

Namun Chicken Chop boleh juga,

Walau pun mendadak paras gula,

Di keesokan harinya.



Ketika Dia masih ada,

Cara makan suami macamlah raja,

Ketam perlu diasing tinggal isi sahaja,

Tulang-tulang ikan perlu dibuang juga,

Walau pun pelbagai rintangan yang ada,

Namun taat Dia kepada suami amat ketara,

Kukuh berpegang kepada prinsip Dia,

Kepada suami Dia tak pernah derhaka,

Walau pun ke tahap meninggikan suara,

Kerana syurga tetap berada,

Di bawah tapak suami tercinta.




Ketika Dia masih ada,

Tidak kira apa orang lain sinis berkata,

Keterlaluan tahap ketaatan kepada suami Dia,

Dia tetap melayan suami seperti biasa,

Bagaikan melayan Pak Balung dalam seloka:

Kasih dicurah sayang diberi,

Makan dihidang minum disaji,

Tak perlu kais tak perlu cari,

Beras padi datang sendiri."


MAWADDAH BAGAIKAN LAILA DAN MAJNUN


MENYUSULI DIA


20.11.2011 adalah tarikh puaka,

Di hari mana Dia sudah tiada,

Pak Teh sudah kehilangan tonggak perkasa,

Apabila air tangan Dia sudah tiada,

Hilang semua deria rasa,

Semua makanan hambar belaka,

Tidak langsung yang menyelera,

Saban hari bagaikan berpuasa,

Kerana kehilangan air tangan Dia.

Kalau dulunya kesihatan mesti diutama,

Keadaan fizikalnya sentiasa siap siaga,

Kini keadaan fizikalnya sudah dialpa,

Dulu setiap anggota bergerak sentiasa,

Kini dibiarkan melanuih begitu sahaja,

Dibiarkan hingga tinggal badan kerangka,

Perjuangan untuk hidup tidak lagi bermakna,

Kerana Dia sudah pun tiada.





49 hari selepas ketiadaan Dia,

Hospitallah rumah Pak Teh yang kedua,

Berbagai rawatan telah dicuba,

Para doktor telah berusaha sedaya upaya,

Namun dengan kehendak Allah jua,

Semua usaha tidak juga yang mengena,

Seluruh anggota badan sudah tidak lagi bermaya,

Hanya berserah kepada yang Maha Esa,





Anak, menantu, cucu dan seluruh keluarga,

Taat berada disisinya setiap masa,

Memenuhi kehendaknya berbagai aneka,

Begitu juga kakak-kakak dan adik iparnya,

Mahu pun anak-anak saudara,

Sentiasa menjenguk apabila peluang terbuka,

Membelai, memicit dan cuba juga berjenaka,

Setiap wajah pelawat Pak Teh tidak lupa,

Namun apabila hampir 100 hari Dia telah tiada,

Suara lantangnya yang semua serba tak kena,

Sudah lesu, tidak bertenaga lagi untuk bersuara.




Berpandukan firasat bahawa harinya hampir tiba,

Pak Teh mendesak untuk pulang ke rumah jua,

Pada petang Rabu 29 Februari yang hiba,

Pak Teh melakukan perjalanan akhir ke Bakar Bata,

Tepat jam 9.35 malam disulami kedinginan Isya,

Pak Teh menghembus nafas terakhir dengan selesa,

Ketika bacaan Yassin baru sahaja bermula,

Pak Teh telah meninggalkan alam yang fana,

Tepat jam 11.00 pagi 1 Mach keesokan harinya,

Pak Teh telah disembahyangkan di Masjid Derga,

Kemudian disemadikan bersebelahan Dia,





Dengan kehendak Allah jua,

Pak Teh telah meninggalkan rumah kesayangan Dia, .

Sebelum pun perlu diusir dengan kata-kata,

Kerana haknya terlupus dengan ketiadaan Dia,

Namun Allah masih menyayangi Pak Teh kita,

Pak Teh keluar terus bersemadi di pusara,

Terkilan di hati amat ketara,

Pak Teh belum sempat mendiami biliknya,

Bilik khas untuknya yang baru siap terbina,

Kita hanya sekadar merancang sahaja,

Tetapi Allah S.W.T. yang menentukannya jua...





Kini, Pak Teh tidak lagi bersama kita,

Namun kenangan Pak Teh amat terasa,

Watak Pak Teh lurus macam tiang tangga,

Lawak jenaka bukanlah mainannya,

Namun Pak Teh sentiasa menjadi mangsa,

Kerana anak cucu seronok mengusik dia,

Pergerakan Pak Teh mudah diteka,

Berbaju Pagoda rutin harian biasa,

Bila Pak Teh sudah berbaju kemeja,

Pak Teh pasti menunaikan urusan rasminya

Di dalam hidupnya yang serba sederhana,

Pak Teh dikenali dengan berbagai nama,

Gelaran Hajilah yang paling berharga,

Serban putihnya sentiasa terlilit di kepala,

Tidak perlu lagi Pak Teh bertopi keledar,

Bila menunggang di jalan raya.





Kini, Pak Teh tidak lagi bersama kita,

Tidak lagi muncul di halaman rumah kita,

Tidak perlu lagi Mak Ngah menutup TVnya,

Pabila Pak Teh muncul tidak mengira masa,

Tiada lagi berterbangan serban di kepala,

Dengan deruman motor Honda,

Yang sentiasa berkilat dipolish setiap masa,

Tiada lagi kedengaran hentakan mangga,

Apabila pintu pagar lambat dibuka,

Tiada lagi merenget kepada anak-anak saudara,

Bahawa chicken chop amatlah menyelera,

Tiada lagi Kopi Gano untuk membuka bicara,

Tiada lagi membayar bil telefon sebelum cukup masa,

Zam tidak lagi perlu menyesal dan hiba,

Melihat Pak Teh dengan Pagoda Vietnam setiap masa,

Pagoda Vietnam Pak Teh telah jadikan idola,

Yang tak boleh lekang dari badannya,

Walau pun untuk dibasuh buat seketika,

Kerana Zam sekadar membeli sehelai sahaja,

Yang kini sudah pun menjadi pusaka.





Semua akan merasa ketiadaan Pak Teh kita,

Tiada lagi penggilap mahir perak suasa,

Tiada lagi penajam mata pisau yang dah buta,

Tiada lagi yang membeli capati di pagi buta,

Tidak lagi berkumandang lagu Arab selembut sutera,

Kerana Pak Teh kita sudah pun tiada.

“Nak balik dah aih” sudah tidak lagi bergema,

Hanya suara ajukan Farli yang masih ada..





Dengan pemergiaan Pak Teh kita,

Maka berakhirlah sebuah legenda,

Lagenda mawaddah sepasang insan biasa,

Mawaddah yang sentiasa semarak bergelora,

Yang berakhir dengan air mata di tanah pusara,

Di dalam tempoh 100 hari di antara mereka berdua,

Bagaikan Majnun dan Laila,

Di tanah gersang Bakar Bata.




Sama-samalah kita berdoa,

Kepada Allah Subhanahu Wataala,

Semoga Arwah Pak Teh dan Mak Teh Kita,

Ditempatkan di kalangan para syuhada.

AMIN YA RABBAL ALAMIN

Setaliboy 14 Rabiulawal 1433 @ 7 Februari 2012,




PERJALANAN TERAKHIR SELEPAS DISEMBAHYANGKAN DI MASJID DERGA

















SANAK SAUDARA YANG MENGIRINGI KE PUSARA




Di manakah kita pula



























1 comment:

  1. Sedihnya pak tuan tentang kisah laila majnun..

    ReplyDelete