Saturday, July 11, 2009

NUR HIDAYAH 6

6

Di dalam kesibukan Pak Ali dan Afiq menyusun buah-buahan di atas pangkin buluh, terdengar pekikan suara Pak Mokhtar, adik kepada Pak Ali, “Abang, Kak, Johari dah sampai.”

Pak Ali dan Afiq terus meluru ke jalan. Kenderaan beroda empat tidak dapat merapati rumah Pak Ali kerana titi kecil menyeberangi parit tepi jalan hanya mampu menampung laluan motosikal sahaja. Mak Cik Hasinah memadam rokok daunnya dan terus berada di kerusi panjang buluh menanti ketibaan anak menantunya.

Dari arah Sungai Baru, kelihatan Land Rover Discovery kehijauan sedang bergerak perlahan-perlahan menuju ke tempat Pak Ali bertiga berdiri. Dari jauh, hanya kelihatan pemandu seorang sahaja tanpa sebarang penumpang. Kereta Land Rover Discovery berhenti betul-betul di hadapan mereka bertiga berdiri. Seorang lelaki berseluar jeans Levis kelabu dan berbaju T Canterbury kebiruan turun daripada kereta dan terus memeluk Pak Ali.

“Assalamualaikum, ayah apa khabar,” Johari bertanya khabar di samping memeluk ayahnya.

“Waalaikumsalam, ayah sihat. Mana isteri kamu,” Pak Ali menyoal anaknya. sambil kedua kelopak matanya dibasahi air.

“Khatijah kirim salam, dia tak sihat dan perlu berehat di Hotel,” Johari menjawab soalan bapanya. Johari kemudiannya memeluk Pak Mokhtar di samping bertukar-tukar khabar.

“Mana beg kamu Johari. Serahlah kat Afiq untuk dibawanya,” Pak Johari menyuruh Johari menghulurkan beg kepada Afiq.

“Tak payahlah ayah, Johari boleh bawa sendiri,” Johari membalas.

Mendengar demikian, Afiq lantas meluru kepada Johari dan menghulur tangan untuk bersalaman sambil berkata,” Tuan, sayalah Afiq dan saya telah pun ambil upah dari Pak Ali untuk membawa beg tuan.”

“Afiq ni anak siapa,” Johari menyoal Afiq sambil menyerahkan begnya untuk dibawa oleh Afiq.

“Saya anak yatim piatu yang berasal dari Yan. Sekarang saya menumpang Pak Chik Mansur, bapa penakan saya.” Afiq memberi penjelasan.

“Afiq masih bersekolah atau tidak,” Johari terus menyoal Afiq.

“Tuan, saya masih bersekolah dalam Darjah Enam, Sekolah Kebangsaan Jitra,” Afiq terus memberi jawapan.

“Periksa dapat nombor berapa,” Johari meneruskan persoalan sambil bergerak seiringan dengan ayahnya menuju ke rumah Pak Ali.

“Saya tak pernah tak dapat nombor satu dalam setiap peperiksaan,” Afiq membalas dengan bangga.

“Afiq, kita bincang lagi selepas ini,” Johari memutuskan perbincangan mereka berdua apabila sampai di hadapan pangkin buluh di bawah pokok manggis. Johari terus memeluk Mak Cik Hasinah. Kedua-dua anak beranak terus menangis teresak-esak.

Afiq meletakkan beg Johari di atas serambi rumah Pak Ali dan terus duduk di bangku buluh di bawah pokok belimbing sambil menonton gelagat Pak Ali bertiga beranak. Johari kemudiannya bersalaman dengan Tuan Imam Haji Dahlan dan jiran-jiran yang hadir. Perasaan hampa jelas terbayang di wajah jiran-jiran yang hadir dengan kerana harapan mereka hendak menatap wajah menantu mem Mak Hasinah tidak kesampaian. Sememangnya hajat utama mereka menunggu ialah untuk menatap wajah menantu mem Mak Cik Hasinah. Adakah mem New Zealand ini lebih cantik daripada Esah anak Pak Man Dagu atau pun sebaliknya.

Apabila keadaan mulai tenang, dan selepas Johari selesai menjamah pulut kukus kelapa parut ikan tamban tergeliat masin, Afiq terus meminta diri untuk pergi mengambil upah di dusun Pak Puat dan Mak Chik Zaidah pula.

Afiq terperanjat apabila Johari menarik tangannya dan berhenti di bawah pokok nangka. “Afiq, Pak Joe amat berbangga dengan kesungguhan Afiq meneruskan pelajaran walau pun di dalam keadaan Afiq yang serba kekurangan,” Johari memuji kegigihan Afiq.

“Alhamdullillah, setakat ini dengan izin Allah dapatlah Afiq meneruskan pelajaran. Kemudian hari, Afiq tak tahulah sama ada mampu mengikuti pelajaran sambil mencari rezeki,” Afiq meluahkan kebimbangannya kepada Johari.

“Afiq jangan putus asa. Afiq mesti kuatkan semangat dan Insya Allah, tuhan akan menyebelahi Afiq. Esok Afiq pakai elok-elok dan jumpa Pak Joe pukul 9.00 pagi di sini dengan membawa kad pengenalan Afiq. Boleh tak,” Johari meminta persetujuan Afiq.

“Inya Allah Tuan, tetapi kita nak buat apa Tuan,” Afiq memohon penjelasan dari Johari.
“Esok, Afiq datanglah dulu, baru Pak Joe akan beritahu,” Johari mengelak daripada menjawab soalan Afiq. Setelah bersalaman, Afiq bergerak pantas ke dusun Pak Puat dan Mak Cik Zaidah

No comments:

Post a Comment