Saturday, July 4, 2009

NUR HIDAYAH BAB 4


Dialog kelmarin dengan Johari masih lagi berdengung di telinganya. Afiq masih tidak dapat memikirkan justifikasi ke atas keputusannya sendiri. Mengapa dengan begitu mudah sekali, beliau telah bersetuju untuk mengikat dirinya dengan satu ikatan yang belum pasti lagi kesudahannya. Mengapa dengan mudah beliau mengenakan pakaian Melayu sedondon puteh bersamping benang emas dan memandu kereta Volvo S 80 ke rumah “Seri Idaman” di Shah Alam.

Bila Afiq menghimbau pemikirannya jauh ke belakang, barulah Afiq terasa sekali bahawa Johari sememangnya amat berjasa sekali kepada dirinya. Joharilah yang tanpa berfikir panjang telah menghulurkan talian hayat kepadanya sehinggakan Afiq dapat memperolehi taraf kehidupan yang sempurna. Kalau diambil kira itu semua, pengorbanannya untuk berkahwin dengan Aleeya adalah umpama sekadar menuang setitik air di lautan luas.

Masih terbayang dengan jelas pertama kali Afiq dipertemukan dengan Johari pada tahun 1982. Ketika itu, Afiq baru sahaja berumur 12 tahun dan masih bersekolah di Darjah 6, Sekolah Kebangsaan Jitra. Afiq tidak sempat melihat wajah ayahnya dengan kerana arwah ayahnya telah hilang di laut semasa ibunya baru enam bulan mengandung Afiq. Ibu Afiq pula telah meninggal dunia di patuk ular tedung sela ketika mencari rebung hutan di kaki Gunung Jerai. Ketika itu, Afiq baru sahaja berumur lima tahun.

Selepas kematian ibunya, Pak Cik Mansur, abang kepada ibunya telah membawa Afiq tinggal bersamanya di Kampung Kelubi. Pak Cik Mansur adalah seorang duda beranak dua. Arwah isteri Pak Chik Mansur adalah kakak kepada Pak Ali. Kedua anak lelaki Pak Chik Mansur telah pun berkahwin dan bermastautin di Pekan Langgar dan di Kota Sarang Semut. Untuk memperkasakan Afiq bagi menghadapi cabaran dunia di dalam usia yang begitu muda, Pak Cik Mansur telah mula mengasah Afiq supaya berdikari pada usia yang baru bertunas rebung. Bukan setakat kerja-kerja di lapangan, tetapi Afiq juga telah diasuh supaya mampu menguruskan keperluan domestik di rumah

Walau pun sumber pendapatan Pak Cik Mansur tidak menentu dan amat terhad sekali, namun Pak Cik Mansur tetap menggalakkan Afiq untuk meneruskan pelajarannya. Falasafah Pak Chik Mansur ialah pendidikanlah faktor utama yang yang akan menentukan mobiliti sosial Afiq pada masa depan. Pak Cik Mansur juga menasihati Afiq supaya sentiasa ringan tulang dan nescaya Allah akan memberkati insannya yang rajin berusaha

Pak Cik Mansur juga telah melengkapkan diri Afiq dengan pelbagai kepakaran asas hidup seperti memanjat pokok buah-buahan, mengerjakan tanah, menangkap ikan, pertukangan asas dan pelbagai kerja-kerja lain. Dengan kebolehan serba boleh ini, Afiq sentiasa diperlukan oleh penduduk-penduduk kampong untuk membantu kerja harian mereka selepas waktu persekolahannya. Di sebelah malam pula, Afiqlah yang menjadi bilal di surau. Walau pun di dalam keadaan yang serba kekurangan, Pak Cik Mansur tidak pernah meminta hasil yang diperolehi Afiq melalui berbagai kerja yang diusahakan oleh Afiq.








2 comments: